Yayasan Amal Malaysia

CORETAN ALUAN PENGERUSI

800px-Basmala.svg

 

 

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt di atas nikmat kesihatan dan masa yang dianugerahkan kepada saya untuk menukilkan coretan ringkas di laman ini sempena menyambut 10 tahun penubuhan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah (YAMCS).

Walau pun YAMCS baru berusia 10 tahun namum di atas komitmen dan didikasi ahli-ahlinya yang terdiri dari pelbagai latarbelakang pendidikan serta pengalaman telah berjaya menggalas tanggungjawab melaksanakan program dan aktivitinya berdasarkan empat (4) peranan teras penubuhannya iaitu Kebajikan, Kesihatan, Kemasyarakatan dan Pendidikan khususnya di negeri Sabah. YAMCS dengan kerjasama pelbagai pihak telah menyantuni golongan asnaf dan kalangan dhaif terutama di kawasan pedalaman di seluruh Sabah melalui projek-projek kominiti dan bantuan kemanusiaan seperti pembinaan Surau Surau, rumah-rumah asnaf, rumah transit muallaf, projek bekalan air bersih “Water4Life”, bekalan tangki air, projek ekonomi pembuatan batu blok, perkhidmatan rawatan percuma, khatan perdana, penubuhan Tadika Amal di bawah Program Edu4Better Future, sumbangan alat persekolahan di bawah program “back to school”, dan pelbagai bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa yang ditimpah musibah bencana banjir, gempa bumi, kebakaran dan tanah runtuh.

Di bawah program pendidikan YAMCS telah melatih lebih 80 Daie yang kini bertebaran di lapangan untuk melaksanakan dakwah Bil Hal di seluruh Sabah. Daie-Daie ini telah berjaya mengembalikan lebih 1000 orang ke agama fitrah. Program melatih Daie ini merupakan program yang berterusan di mana sasaran YAMCS untuk tempoh 5 tahun dari sekarang ialah melahirkan 150 Daie dan sudah pasti memerlukan dana yang lebih besar disamping program-program pengupayaan asnaf. Alhamdulillah YAMCS mendapat kepercayaan pelbagai pihak seperti Bank, badan-badan Korporat, individu yang prihatin dan juga pihak Kerajaan. Tanpa sokongan dari mereka yang saya sebutkan, YAMCS sudah pasti tidak dapat menjalankan fungsinya dengan berkesan sebagai komplimen kepada usaha-usaha kerajaan membangunkan masyarakat dalam pelbagai dimensi seperti pendidikan, kebajikan, kesihatan dan kemanusiaan.

Di peringkat antarabangsa, YAMCS juga tidak ketinggalan mengadakan pelbagai program kemanusiaan termasuklah melaksanakan ibadah korban dan aqiqah setiap tahun di mana berpuluh-puluh ekor lembu dan kambing di korbankan di Filipina, Sudan, dan di kem-kem pelarian Rohingya, Assam di India dan Nepal.

Akhir sekali saya mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada semua ahli jawatankuasa YAMCS yang tidak jemu-jemu memberikah khidmat bakti mereka di lapangan tanpa mengharapkan upah dan habuan. Kepada para dermawan yang menginfaqkan harta mereka kepada YAMCS di doakan semoga Allah swt menganugerahkan kesihatan yang berkekalan serta rezeki yang melimpah ruah. Amin Ya Rabbal Alamin.

 

Yang Ikhlas,

HAJI KHAIRAN UNTOH, A.S.D.K

Pengerusi

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah/

Ahli Majlis Perunding Pusat Dakwah Serantau